BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 2 Disember 2010

~AWAK SUDI JADI ISTERI KEDUA SAYA??~

by Nurshahida Roslan on Tuesday, May 11, 2010 at 12:07am

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Haikal Ajmal tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Atiqah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Atiqah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Haikal Ajmal liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Atiqah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Atiqah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… "Atiqah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Atiqah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Atiqah semakin tinggi, setinggi egonya.

Haikal Ajmal diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Atiqah' di sebalik Atiqah yang dia kenal selama ini. Atiqah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya,Haikal Ajmal seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.Haikal AjmaL muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Haikal Ajmal, sekecil pandangannya terhadap Atiqah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Haikal Ajmal sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Haikal Ajmal berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah,Haikal Ajmal dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Atiqah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Haikal Ajmal. Bagi Atiqah, Haikal Ajmal seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Haikal Ajmal melamarnya menjadi isteri kedua. Haikal Ajmal masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Atiqah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Atiqah, namun sikap Atiqah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Haikal Ajmal tersebut.

Bagi Atiqah,Haikal Ajmal tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Haikal Ajmal berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Haikal Ajmal semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Haikal Ajmal – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Haikal Ajmal.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah,Haikal Ajmal dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Laila Shahida.Haikal Ajmal sekali lagi gusar takut-takut Laila Shahida tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Haikal Ajmal menemui Tuhannya, namun, Laila Shahida yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Atiqah atau tidak? Haikal Ajmal bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Laila Shahida ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Laila Shahida daripada beberapa sahabat terdekatnya,Haikal Ajmal berjumpa dengan Laila Shahida bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Haikal Ajmal mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Atiqah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Haikal Ajmal tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Laila Shahida ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Haikal Ajmal menerima jawapan Laila Shahida yang tenang dan yakin.

Laila Shahida mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Haikal Ajmal.


"Kenapa saya?" tanya Haikal Ajmal ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Laila Shahida yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Haikal Ajmal tersenyum.
Akhirnya, Haikal Ajmal dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Laila Shahida, Haikal Ajmal terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Laila Shahida sangat membantu gerak kerja Haikal Ajmal semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Haikal Ajmal membawa Laila Shahida untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Laila Shahida. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Haikal Ajmal. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Laila Shahida juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Laila Shahida dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Haikal Ajmal sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Laila Shahida yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Haikal Ajmal menoleh sedikit ke arah Laila Shahida, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Laila Shahida riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Haikal Ajmal dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Laila Shahida, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Haikal Ajmal yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Haikal Ajmal aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Haikal Ajmal membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Haikal Ajmal berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Laila Shahida yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Haikal Ajmal menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Laila Shahida mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Haikal Ajmal.

"Tak nampak pun," Laila Shahida meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Laila Shahida sangat berdebar.

Haikal Ajmal tersenyum lebar, memandang Laila Shahida penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Haikal Ajmal.

***************

Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…


Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!

0 ulasan: