Assalamualaikum w.b.t
Sejak dahulu sehingga kini persoalan mengenai kaum wanita merupakan suatu persoalan hangat yang sering menjadi bahan perbincangan di kalangan anggota masyarakat, sama ada sebelum atau sesudah Islam. Dalam hal ini ada sesetengah pendapat yang mengganggap:
1] Wanita merupakan makhluk yang tidak bernilai dan hina, diumpamakan seperti binatang buas bahkan lebih rendah lagi, wanita merupakan barang yang dapat diperdagangkan dengan harga yang murah sebagaimana yang telah dilakukan oleh masyarakat sebelum Islam seperti masyarakat Rom, masyarakat Arab Jahiliyyah, Cina dan sebagainya.
2]Wanita dikiaskan sebagai dewi yang dipuja dan disanjung kerana mereka boleh menghiburkan. Pada tahap ini walaupun wanita mendapat kebebasan bergerak namun tarafnya hanyalah sebagai penghibur sahaja.
3] Pada peringkat ketiga, kedudukan wanita dianggap sama dengan kaum lelaki, sehingga perlu wujudnya persaingan dengan kaum lelaki dalam semua aspek kehidupan. Daripad persepsi inilah lahirnya gerakan "pembebasan wanita" atau disebut "women's Liberation". Pertubuhan ini diwujudkan oleh orang barat dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Pengaruh gerakan ini merebak dengan cepatnya dan telah diterima di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk negara-negara umat Islam.
Dalam Islam, wanita ditempatkan pada satu darjah yang sesuai dengan fitrah kejadian mereka, iaitu sebagai teman kepada kaum adam. dengan penciptaan mereka sebagai pasangan kepada kaum lelaki, maka lahirlah generasi demi generasi untuk meneruskan kelangsungan hidup manusia di atas muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, maka penciptaan kaum wanita juga mempunyai hak dan tanggungjawab yang telah ditentukan oleh Allah.
Oleh itu, di dalam perbincangan ini pembaca akan dibawa untuk melihat apakah peranan dan sikap seorang muslimah sebagai pencorak masyarakat. Untuk tujuan tersebut, Rasulullah s.a.w telah banyak memberi bimbingan kepada umatnya, misalnya Rasulullah s.a.w memberi garis panduan cara memilih isteri sebagaimana hadis:
Maksudnya: "Dikahwini wanita berdasarkan kepada empat perkara: (1) hartanya, (2)keturunannya, (3)rupa parasnya dan agamnya; utamakanlah agamanya maka kamu akan mendapat kesenangan."
Panduan ini jelas ada kaitannya dengan pendidikan generasi atau pertumbuhan kanak-kanak. Rasulullah s.a.w telah menegaskan:
Maksudnya: "Setiap bayi dilahirkan di dalam keadaan suci, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi."
Mukamah juga ada menyebut: "Golongan wanita diibaratkan sebagai tiang agama, apabila ia baik maka baiklah negara dan apabila ia rosak maka rosaklah negara"
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah betapa besarnya peranan wanita di dalam menentukan baik buruknya generasi akan datang kerana wanita atau muslimah merupakan guru atau pendidik kepada anak-anak.
Kita dapat melihat bagaimana seorang wanita yang bernama Asma' binti Abu Bakar yang merupakan isteri kepada Al-Zubair bin Al-Awwam telah berjaya mendidik anaknya, Abdullah bin Zubair semenjak kecil supaya hanya takut kepada Allah sahaja. pernah suatu masa ketika masih kanak-kanak, Abdullah dan kanak-kanak yang sedang bermain di jalan. Ketika itu lalulah Saiyidina Umar Al-Khattab (Amirul Mukminin) yang terkenal dengan ketegasan dan kegarangannya. Semua kanak-kanak yang sedang bermain di jalan itu telah lari dan menjauhkan diri daripada Saiyidina Umar r.a; tetapi Abdullah tidak lari.
Apabila Saiyidina Umar r.a bertanya kenapa beliau tidak berbuat demikian. Abdullah menjawab bahawa jalan itu cukup luas untuk sesiapa sahaja melaluinya. Disamping itu beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan yang menyebabkan beliau merasa takut dan perlu melarikan diri. Begitu juga Asma' sebagai ibunya yang salihah memberi perangsang kepada anaknya Abdullah ketika menghadapi cabaran jihad iaitu tidak mahu tunduk di bawah pemerintahan Yazid bin Muawiyyah yang dianggap zalim dengan kata-kata yang memberi perangsang:
"Matilah dalam keadaan yang mulia tau hidup sebagai seorang yang kuat, jangan kamu rela hidup dalam kehinaan kerana mati itu suatu yang pasti" Dan ketika melihat mayat anaknya, dikudungkan dan dipamerkan kepada orang ramai, beliau berkata: "tidak mengapa kalau seekor kambing biri-biri dikoyak kulitnya setelah ia disembelih"
RUANG UTAMA UNTUK MUSLIMAT BERPERANAN.
1. Institusi keluarga bagi sebuah rumahtangga adalah terbina dari hubungan isteri dan anak-anak. Firman Allah:
Maksudnya: "Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri kamu daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu dari isteri kamu itu anak, cucu dan memberi rezeki dari yang baik (Al-Nahl ayat 71).
Rumahtangga juga merupakan asa kepada pembentukan sebuah masyarakat. Anggota masyarakat yang baik asalnya daripada keluarga yang terdidik. Kepincangan dalam sebuah masyarakat sebahagiannya adalah berpunca daripada keretakan keluarga. Lantaran inilah maka syariat mewujudkan rukun kekeluargaan (Nizamul Usrah) bagi menjamin kewujudan sebuah keluarga atau rumahtangga yang mampu melahirkan generai yang terdidik.
Untuk hidup berkeluarga bukanlah suatu proses tntutan adat semata-mata; tetapi ia adalah amanah Allah yang perlu dihayati agar rumahtangga yang dibina itu terjamin keharmoniannya. Perkara ini berdasarkan tiga asas utama iaitu:
(i) BERASASKAN KEPADA TAQWA.
Iaitu membina sebuah rumahtangga yang tetap berasakan kepada ikatan suci yang tidak hanya berdasarkan kepada ikatan hubungan syahwat semata-mata. Bahkan ia perlu lebih jauh daripada itu, iaitu ikatan perhubungan jiwa, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 187: Maksudnya; "Mereka (isteri-isteri) itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka".
Menurut ahli tafsir, makna pakaian adalah sesuatu yang melindungi manusia daripada kesejukan, kepanasan atau kesakitan fizikal, seperti tercalar oleh duri. Maka demikianlah juga peranan yang dimainkan di antara suami isteri, iaitu kedua-duanya adalah saling lindung-melindungi daripada sebarang perkara yang bercanggah dengan konsep dan roh taqwa. Dengan berdasarkan taqwa, suami isteri digalakkan mendapat zuriat. Setelah wujudnya zuriat atau anak, wajib pula diisi roh dan jasad mereka dengan pendidikan yang berteraskan taqwa. Demi memenuhi motif melahirkan generasi soleh, cemerlang dan bertaqwa tersebut, maka tidak dapat tidak kedua ibu bapa perlu memnuhi diri mereka dengan ilmu dab kemahiran sebagai ibu bapa yang bertaqwa. Khususnya para muslimat, mereka amat memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dapat digunakan sebagai prasarana kepada pencapaian matlamat tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w; Maksudnya;" Menuntut Ilmu menjadi kefardhuan keatas semua muslim"
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak cabaran di pihak isteri atau muslimat ketika berhadapan dengan kerenah suami dan kenakalan anak-anak. justeru itu, kesabaran adalah perlu bagi mengelakkan konslik dan perpecahan.
(ii) PERGAULAN YANG BAIK
Pergaulan yang baik di antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak, melahirkan rasa tangungjawab bersama dalam mengendalikan semua urusan yang berhubung dengan keluarga dan masyarakat. Pergaulan yang baik ini juga lahir natijah daripada eujudnya persefahaman yang tinggi di antara ahli-ahli keluarga. Firman Allah;
Maksudnya; "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir," (Ar-Rum ayat 21)
Hasil dari hubungan kasih sayang di antara suami isteri dan anak-anak dapat mengelakkan seluruh keluarga daripada terjerumus kepada perkara-perkara maksiat. Akan terelaklah sikap suka berpeleseran tanpa arah tujuan, sehingga menjerumuskan anak-anak ke lembah perzinaan, mejadi bohsia dan bohjan, meminum minuman keras, berjudi dan sebagainya. Anak-anak yang menadapat kasih sayang sepenuhnya dari ibu bapa juga dapat membentuk jiwa dan perwatakan yang baik, berhemah tinggi dan menghormati ibu bapa serta golongan yang lebih tua.
(iii) TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab bersama dalam mengendalikan pengurusan dan pentadbiran rumahtangga agar membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Firman Allah; Maksudnya; "Barangsiapa yang mengerjakan amal salih baik lelaki ataupun perempuan sedang ia orang beriman, maka mereka itu masuk syurga dan mereka itu tidak diabaikan walau sedikitpun"(Surah Ghafir ayat 40) Firman Allah: Maksudnya; "Sesungguhnya laki-laki dan perempuan muslim, laki-laki dan perempuan yang mu'min, laki-laki dan perempuan yang tetap didlam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. (Al-Ahzab ayat 35)
Berdasarkan kepada pengertian di atas, suami isteri yang memahaminya akan sama-sama menunaikan tanggungjawab dengan penuh komitmen, menurut ruang lingkup yang sesuai dengan sifat semulajadi mereka.
Sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan agar umatnya rajin berusaha di dalam segenap urusan duniawi, maka usaha mewujudkan sebuah kelurga yang harmoni sehinggalah terbentuknya sebuah komuniti yang benar-benar sejahtera adalah sangat dititikberatkan. Ini kerana sebuah keluarga adalah satu unit yang menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat. Jika sebuah keluarga itu pincang maka sebuah masyarakat itu juga turut dilihat pincang. Ibarat pepatah, "rosak susu sebelangan akibat terjatuhnya setitik nila."
Dalam konteks ini, seorang isteri juga mempunyai hak dan autoriti di dalam menentukan hala tuju rumahtangga, yakni sebagai pembantu dan timbalan kepada suaminya. Kerana itulah amat penting wujudnya perasaan persamaan ini akan dapat menghasilkan anak-anak soleh yang cemerlang, yang bakal menganggotai masyarakat dan menerajui negara.
2.MUSLIMAT DAN MASYARAKAT
Tanggungjawab membangunkan masyarakat supaya mengayati Islam menjadi tanggungjawab bersama mukmin dan mukminah, Begitu juga muslimat menjadi tenaga pembantu muslimin dalam kerja-kerja amar ma'ruf serta menyebarkan dakwah islamyyah. Firman Allah; Maksudnya: "Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagiannya adalah menjadi penolong kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh mengerjakan yang Ma'ruf dan mencegah yang Mungkar (At-Taubah ayat 71)
Dalam menunaikan tugas pembinaan masyarakat, ada beberapa ciri penting yang perlu ada pada setiap muslimat iaitu:
(i) KEISLAMAN DAN KEIMANAN YANG TEGUH DAN JELAS.
Penglibatan lahiriah dalam Islam secara konsisten (istiqamah) adalah jelas daripada kepercayaan yang teguh terhadap rukun iman dan konsep hidup Islam serta keyakinan sepenuhnya terhadap kekuasaan mutlak Allah s.w.t Allah adalah pemberi rezeki dan penentu keadaan sama ada bencana dan kebaikan. Muslimat pula tidak boleh sekali-kali bersifat angkuh, hipokrit atau berpura-pura dalam segala hal.
(ii) KEILMUAN YANG TINGGI
Muslimat hendaklah memenuhkan jiwanya dengan ilmu pengetahuan kerana ilmu pengetahuan adalah alat yang boleh membina diri muslimat dan juga masyarakat. Beberapa tokoh cendekiawan muslimat terdahulu seperti Aisyah isteri rasulullah s.a.w sangat mahir didalam bidang ilmu Hadis. Fatimah Az-Zahrah puteri Rasulullah s.a.w mahir di bidang ilmu Fiqh dan isteri Harun Ar-Rasyid iaitu Siti Zubaidah di bawah cadangannya telah terbina Empangan Siti Zubaidah di Mekah.
(iii) BEISTIQAMAH DAN SABAR.
Teguh pendirian di dalam memenuhi ajaran Islam serta sabar dalam mengharungi cabaran hidup, tidak mudah tertarik dengan fitnah dunia dewasa ini. Begitu juga keadaannya bila berharakah (berada di dalam Gerakan Islam), berdisiplin dan sentiasa bertata tertib. Kesemua elemen ini adalah perlu diamalkan supaya dapat menjayakan program-program di dalam gerakan islam.
(iv) SEDIA BERKORBAN
Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid r.ha, isteri junjungan Rasulullah s.a.w yang tercinta, rela mengorbankan segala apa yang ada padanya, sama ada harta, masa malahan dirinya sendiri demi perjuangan suaminya dalam menyelamatkan umat Islam daripada kesesatan pertunjuk, seterusnya membina pembangunan umat dan negara Islam.
(v)SENTIASA MELATIH ROHANI UNTUK KHUSYU' KEPADA ALLAH.
Menerusi ibadat-ibadat wajib dan sunat yang dilakukan seperti sembahyang dan puasa dapat menundukkan keinginan nafsu yang tidak terbatas. Menerusi ibadat yg dilakukan juga dapat menanam dan menguatkan pemikiran. Rohani yang kuat juga akan melahirkan muslimat mujahidah yang sanggup menempuh segala pancaroba dan tribulasi di dalam perjuangan, sebagaimana yang dipamerkan oleh Zainab Al-Ghazali di bawah Rejim Jamal Abd Nasir. Pernah beliau menceritakan, hanya berkat takbir sahaja, kedua-dua ekor anjing lapar yang dilepaskan ke dalam sel penjaranya tidak berani menyentuhnya, sedangkan sebelum itu sudah ramai yang menjadi mangsa keganasan anjing-anjing tersebut.
3)MUSLIMAT DAN NEGARA
Muslimat berperanan kearah pembentukan negara Islam. sebagai contoh, dalam negara yang mengamalkan demokrasi, kuasa memilih pemimpin dan kerajaan adalah terletak ditangan rakyat. Maka menjadi tanggungjawab muslimat untuk menyertai sistem berpilihanraya ini, serta menyedarkan anggota masyarakat betapa penting undi rakyat untuk menentukan ketua negara dan sistem pemeintahannya. Jika pemimpin yang berjiwa Islam dipilih, maka sistem Islam akan dilaksanakan; sebaliknya jika terus memilih kepimpinan yang hanya pada nama sahaja Islam sedangkan jiwanya tidak islam, maka negara akan terus berada dibawah sistem sekular yang Islam dijadikan perkara tempelan dan mainan.
Sebagai kesimpulannya, kita mesti sedar bahawa gejala penjajahan pemikiran barat telah menular ke dalam kehidupan majoriti wanita hari ini, sehingga kebanyakan mereka tidak menyedari bahawa mereka telah dijadikan alat dagangan, alat hiburan dan model yang diiklankan. Fenomena ini menjadikan peranan muslimat sangat penting dan sangat relevan demi mempertahankan kemurnian aqidah dan akhlak Islamyyah untuk umat seluruhnya di dalam arus dunia yang penuh cabaran dan noda ini.
Wassalam.
Rabu, 9 Februari 2011
Muslimat Pencorak Masyarakat
Dicatat oleh noramalinazulkifli di 9.2.11
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan