BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 30 Disember 2010

400 penuntut IPT sertai perkhemahan Santun 2010

JAMIL Khir Baharom bersalaman dengan peserta Program Perkhemahan Nasional Santun 2010 di Sintok, semalam.



KUBANG PASU 19 Dis. - Seramai 400 penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menerima Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Miskin/Anak Yatim Nasional (Santun) menyertai perkhemahan Santun 2010 yang diadakan selama enam hari di Sintok, dekat sini.
Program anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) itu merupakan kali kedua dianjurkan selepas perkhemahan pertama diadakan di Kuala Kangsar, Perak, tahun lalu.
Diadakan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sintok, peserta bukan sahaja didedahkan dengan pelbagai modul motivasi tetapi bakal menjalani program khidmat masyarakat.
Dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini, para peserta turut berpeluang menemui beberapa pemimpin negara.
Antaranya Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Turut sama memberikan ceramah motivasi, Ketua Pengarah Yapeim, Dr. Abd. Malek Awang Kechil dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.
Bertemakan Pemantapan Generasi Pewaris, Menjana Transformasi Negara, kalangan peserta yang ditemui melahirkan harapan untuk menimba seberapa banyak ilmu bagi membolehkan mereka melakukan persiapan dalam berhadapan dengan masa depan.
Bagi Adiff Nafillah Azlizah Hamzah, 19, penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia ini mahu menjadikan Santun 2010 sebagai tapak membina keyakinan diri.
''Kesempatan menemui beberapa pemimpin negara juga akan saya manfaatkan untuk mengaut pengalaman mereka supaya menjadi seorang pemimpin yang berguna pada masa akan datang.
''Program sebegini juga bagus kepada kami warga Santun yang rata-ratanya adalah penuntut miskin dan anak yatim," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Pendapat Adiff turut disokong rakannya, mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Norisal Nasai, 20.
Mahasiswa Ijazah Veterinar ini mahu menjadikan Santun 2010 sebagai peluang meningkatkan keyakinan diri dalam mencapai cita-cita menjadi usahawan berjaya atas didikan Yapeim.
Sementara itu, Mohamad Farez Izrul, 21, pula berkata, selain melonjakkan motivasi untuk terus tekun belajar, Santun 2010 mengajarnya untuk tidak lupa kepada khidmat kemasyarakatan.
''Kita akan menjalani program khidmat masyarakat dan dari situ, setiap peserta akan diajar supaya bersama dengan kelompok masyarakat untuk saling bantu-membantu," jelasnya yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Begitu juga kepada Mohd. Nasrul Asraf Kon, 20, yang berasal dari Sarawak dan kini menuntut di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.
Kali pertama mengikuti perkhemahan Santun, beliau berhasrat untuk mengubah sikap yang negatif kepada positif di samping mahu berkongsi pengalaman semasa perkhemahan itu kepada rakan-rakan pengajiannya di UM nanti

0 ulasan: